kubiar kalam berbicara…

Hijrah dalam Kehidupan

Semalam umat Islam telah melangkah setahun lagi ke dalam tahun hijrah. Tidak terasa begitu cepat masa berlalu dalam kehidupan kita dan sekarang telah pun mencecah angka 1433H. Saat dan minit terus berputar. Hari berganti hari menggenapkan hitungan minggu, bulan dan tahun. Silih berganti seiring dengan putaran siang dan amalm. Semua ini tiada memberi makna lain selain untuk menunjukkan kekuasaan Allah kepada makhluk ciptaan-Nya.

“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan pergantian malam dan siang terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang-orang yang berakal.” (3:191)

Pertukaran siang dan amalam, peredaran bulan dan bintang serta kejadian matahari dan gunung ganang yang terpasak kukuh adalah menjadi sebahagian daripada bukti kekuasaan Allah SWT. Allah swt. berfirman:

“Demi matahari dan sinarnya di pagi hari. Demi bulan apabila ia mengiringi. Demi siang apabila ia menampakkan diri. Demi malam apabila ia menutupi. Demi langit serta binaannya. Demi bumi serta penghamparannya. Demi jiwa dengan segala penyempurnaan (ciptaan)-Nya. Allah mengilhamkan kepada jiwa jalan keburukan(kefasikan) dan kebaikan(ketaqwaan). Beruntunglah siapa yang membersihkannya, rugilah siapa yang mengotorinya.” (91:1-10)

Bertambahnya tahun bererti bertambahlah usia kita dan semakin kurang kuota umur kita untuk kehidupan di dunia ini. Maka setiap hari yang mendatang semakin mendekatkan diri kita akan hari kematian yang telah di takdirkan Allah untuk kita seperti yang di nukilkan oleh Penyair Arab:

“Innama anta ayyam, idza madha minnka yaumun, madha ba’dhah. Anda adalah rangkaian dari hari-hari. Jika satu hari telah berlalu, maka akan berkurang umur Anda.”

Lalu, apa yang sudah kita perbuat dari bertambahnya umur kita? Jawapan ini penting, kerana suka atau tidak setiap yang hidup pasti akan menunggu giliran mati. Kematian bukan pengakhiran daripada kehidupan tetapi adalah permulaan untuk kehidupan kekal abadi di negeri akhirat. Di negeri yang abadi inilah manusia akan di hisab dan di hitung dengan seadilnya oleh Alla SWT. Tiada lagi alasan mampu di ungkapkan oleh lisan manusia melainkan semua anggota tubuhnya mejadi saksi pada setiap perbuatan yang di lakukan. Tiada lagi ‘hadiah’ atau suapan mampu di berikan  oleh manusia untuk mengelakkan hukuman yang akan di jatuhkan kepada mereka.

Hakikat Hijrah

Hijrah bererti berpindah atau meninggalkan. Dalam makna ini, hijrah memiliki dua bentuk. Hijrah Makaniyah dan Hijrah Ma’nawiyah. Hijrah makaniyah adalah berpindah secara fizikal, dari satu tempat ke tempat lain. Kebanyakan ayat-ayat tentang hijrah bermakna Makaniyah.

“Dan siapa yang berhijrah di jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur. Dan siapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.” (4:100)

“Dan orang-orang yang berhijrah di jalan Allah, kemudian mereka terbunuh atau mati, sudah tentu Allah akan mengurniakan kepada mereka limpah kurnia yang baik. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik pemberi limpah kurnia.” (22:58)

Sedangkan hijrah secara ma’nawiyah ditegaskan dalam firman Allah SWT.

“Dan berkatalah Ibrahim: “Sesungguhnya aku sentiasa berhijrah kepada Tuhanku; sesungguhnya Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (29:26)

“Dan perbuatan dosa tinggalkanlah.” (74:5)

Antara bentuk-bentuk hijrah maknawiyah adalah meninggalkan kekufuran menuju keimanan. Meninggalkan syirik menuju tauhid (hanya mengesakan Allah). Meninggalkan kebiasaan mengingkari nikmat-nikmat Allah menjadi pandai bersyukur. Berpindah dari kehidupan jahiliyah ke arah kehidupan Islami. Berpindah dari sifat-sifat munafik menjadi istiqamah. Hijrah juga bererti memberi komitmen yang kuat pada nilai kebenaran dan meninggalkan kebatilan. Meninggalkan perbuatan, makanan dan pakaian yang haram kepada hidup halalan thayyiba. Meninggalkan maksiat menuju taat hanya kepada Allah SWT.

Berdasarakan beberapa makna hijrah yang di sebutkan tersebut maka dapat di simpulkan bahawa erti hijrah adalah perubahan. Perubahan menuju lebih baik, dalam segala hal. Perubahan itu dilakukan semata-mata kerana kebaikan, kerana manfaat dan kerana mencari ridha Allah SWT. Rasulullah saw. bersabda yang diriwayatkan Imam Bukhari:

Barangsiapa yang berhijrah untuk Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya untuk Allah dan Rasul-Nya. Barangsiapa yang berhijrah untuk dunia (untuk memperoleh keuntungan duniawi) dan untuk menikahi wanita maka hijrah itu untuk apa yang diniatkan nya.”

Oleh kerana itu, dalam menapaki tahun hijrah ini kita perlu menetapkan arah atau tujuan hidup dengan jelas, mencari bekalan yang cukup, berwaspada dengan pelbagai godaan di jalanan dan jangan sesekali tertinggal dari menyertai rombongan kebaikan, kerana hidup ini ibarat musafir. Bersama-samalah kita muhasabah kehidupan kita pada tahun-tahun sebelumnya, agar kita dapat perbaiki diri untuk menjadi yang lebih baik pada tahun baru ini seterusnya tidak tergolong ke dalam golongan yang di cela dalam hadis Nabi yakni orang yang hari esoknya lebih buruk daripada hari sebelumnya.

Leave a comment