kubiar kalam berbicara…

Kelemahan Kita Umat Islam

Keadaan malam di bandar metropolitan ini tidaklah sesibuk seperti kotaraya London. Tidak juga seterang bandaraya Kuala Lumpur. Namun begitu, suasana malamnya masih hidup. Meriah dan padat. Bingit dan mengasyikkan. Daripada cahaya lip-lap dan alunan irama pelbagai yang menghiasi disko dan pub-pub sehinggalah kepada telatah penghuninya yang tidak jemu-jemu berhibur – semuanya saling melengkapi. Namun mungkin beginilah agaknya trend masyarakat zaman millenium menghabiskan kelapangan malam mereka. Tipikal.

Dari fesyen busana mereka yang rata-ratanya berjenama, dari ragam rambutnya yang terkacau santai atau tegak berselerak, dari gaya pemakainya yang menampakkan lutut, peha bahkan pusat dan perut, dari cara mereka berdansa menuruti rentak lagu dan dari lagak mereka meneguk gelas yang berisi Carlsberg ataupun Carling  – mereka adalah bayangan masyarakat moden yang dahagakan hiburan dan keseronokan. Memang selalunya mereka kelihatan bahagia, tidak mustahil mereka pintar menyembunyikan derita.

Di tengah-tengah ragam dan gelagat manusia kota beginilah selalunya kita terangsang bertanya apakah bezanya kita sebagai umat Islam dengan mereka yang lalai ini? Apakah kita mahu menidakkan yang kini arak di kalangan muslim sudah tidak janggal lagi? Apakah kita mahu menyangkal yang budaya seks bebas sudah semakin sebati di kalangan remaja Islam? Apakah kita masih mahu memperlekehkan kewajipan menutup aurat yang kini dikatakan sekadar menyerlahkan kesopanan? Justeru, apakah bezanya ‘kita’ dengan ‘mereka’?

Sekilas pandang umat Islam kini telah hilang keperibadian terpuji mereka sebagai muslim sebenar di mana suatu masa dahulu sifat ataupun sikap ini pernah dimiliki oleh para sahabat dan para salafus soleh. Kehilangan ini sekaligus melontar umat Islam kembali mengamalkan cara hidup yang berlandaskan norma-norma yang sememangnya telah wujud dan dipraktikkan oleh masyarakat di zaman jahiliyyah. Oleh yang demikian, garis pemisah yang membezakan antara ‘kita’ dengan ‘mereka’  telah terhapus lantaran corak kehidupan ‘kita’ yang tidak jauh bezanya dengan ‘mereka’.

Punca Masalah

Sedar atau tidak, semua permasalahan ini berpunca daripada satu halangan – tiada lagi kekuatan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah. Secara tidak langsung tahap sensitiviti terhadap Islam itu sendiri telah semakin berkurang sehingga ada antara ‘kita’ yang sanggup mengabaikan kepentingan Islam semata-mata untuk mencapai dan memenuhi kepentingan diri sendiri. Dunia hari ini melihat kejayaan dalam mengecap impian individu (duniawi) sebagai kemenangan yang mutlak; seolah-olah terlupa yang akhirat itu kekal abadi.

Professor Dr. Yusuf Al-Qardhawi turut terpanggil untuk mengulas isu ini dalam bukunya yang bertajuk ‘Di Mana Punca Kelemahan Umat Islam Masa Kini’. Beliau berpendapat terdapat beberapa faktor sampingan lain yang turut menjurus kepada permasalahan ini selain persoalan iman yang semakin terhakis.  

Dr. Yusuf Al-Qardhawi berpendapat, umat Islam dekad ini terlalu asyik dan lalai dengan habuan dunia. ‘Kita’ digambarkan sebagai umat yang lupa diri dan saling berlumba-lumba untuk menikmati kebahagiaan dunia yang sebentar. Demi mencapai keseronokan sementara ini, secara tidak langsung ‘kita’  turut sama melupakan Allah. Sesungguhnya Allah telah berfirman,

“Janganlah kamu seperti orang-orang yang melupakan Allah, lalu Allah melupakan dia pada diri mereka sendiri.”   (al-Hasyr: 19)

Justeru menurut Dr. Yusuf Al-Qardhawi, kekayaan yang dimiliki ini langsung tidak mempunyai erti kerana kemenangan dan kemuliaan tidak akan dapat diperolehi tanpa Islam. Untuk menguatkan lagi mesej ini beliau turut memetik ucapan Umar Al-Khattab :

“Kita dahulu adalah kaum yang paling hina, lalu Allah memuliakan kita dengan Islam dan bagaimanapun besar perjuangan dan pengorbanan kita tanpa Islam, pastilah Allah s.w.t akan menghinakan kita!”

Malas

 Di samping itu, beliau turut menyatakan bahawa masyarakat Islam masa kini telah banyak mensia-siakan kekuatan mereka.  Sekilas pandang, ‘kita’ diibaratkan sebagai orang yang sedang tidur lena, yang tidak mampu untuk mengejar peredaran dunia yang kian ke hadapan. Menurut beliau lagi, barang yang paling murah dan tidak mempunyai erti bagi umat kini adalah masa ataupun waktu kerana ‘kita’  sama sekali tidak menghargainya. ‘Kita’ tidak memanfaatkan kekuatan akal yang diberi. Majoriti umat kini lebih senang meniru dan menghafal daripada mencipta dan berfikir. Walaupun ilmu pengetahuan itu masih lagi dipandang sebagai elemen penting dalam kehidupan sehari-hari namun ‘kita’ masih gagal dalam aplikasi dan penggunaannya. Jelas, semua ini berpunca dari suatu penyakit yang masih belum ada penawar yang konkrit untuk mengubatinya – kemalasan. Sinis tapi itulah realitinya.

 Pendekatan Dr. Yusuf berkaitan isu ini amat berkesan dimana beliau telah mengetengahkan kata-kata Moshe Dayan (seorang penulis berbangsa Yahudi) yang telah menyatakan secara terbuka mengenai cita-citanya jahat negaranya dalam bentuk tulisan:

 “Tenanglah. Percayalah padaku, bangsa Arab tidak akan membacanya, kerana mereka tidak suka dan malas membaca.” Dr. Yusuf turut berpendapat yang umat Islam gagal dalam memanfaatkan tenaga mereka. Walaupun Islam kini dianuti hampir satu pertiga daripada penghuni alam, namun ‘kita’ masih lagi tidak mampu untuk mengeksploitasikan kelebihan ‘kita’ dari aspek ini. Contoh terbaik, lihat sahaja negara-negara maju yang saling bergabung dan menjalinkan persefahaman dari sudut pertahanan, ekonomi mahupun politik. ‘Kita’ pula lebih gemar dan leka dalam melaung-laungkan semangat nasionalisme dan ideologi politik masing-masing daripada menentukan hala tuju umat ataupun matlamat Islam. Justeru, fenomena ini menyebabkan ‘kita’ lebih banyak berpecah-belah dan berkelahi sesama sendiri.

 Nyata sekali, permasalahan dan konflik umat yang melanda masyarakat muslim sekarang ini berpunca daripada kelalaian ataupun kesilapan ‘kita’ sendiri. Oleh sebab ‘kita’ merupakan punca kepada permasalahan ini maka ‘kita’ jugalah yang harus menjadi ejen pengubah untuk memperbetulkan kembali keadaan. Walau bagaimanapun, usaha ini bukanlah mudah. Tidak juga akan berlaku dalam sekelip mata. Semua pihak harus sedar yang tanggungjawab ini merupakan beban yang harus ‘kita’ pikul bersama. Baik pemimpin, ulama mahupun rakyat kebanyakkan perlu bersama-sama menggembleng tenaga mereka ke arah merawat keadaan dunia kita pada hari ini. Pendapat ini ternyata kebenarannya menerusi sabda Rasulullah SAW:

         “Terdapat segolongan manusia yang mentaati perintah-perintah Allah dan segolongan manusia yang lain melanggari batas-batas Allah. Perumpamaan mereka adalah seperti dua golongan yang menaiki sebuah kapal di mana satu golongan berada di atas dan satu golongan lagi berada dalam perut kapal. Apabila golongan yang berada dalam perut kapal inginkan air mereka menyuruh golongan yang di atas supaya mengambilkan air untuknya sehinggalah mereka berkata : “Adakah patut kita kita menyusahkan golongan di atas apabila kita memerlukan air sedangkan kita boleh mendapat air yang banyak dengan melubangi bahagian bawah kapal ini”. Maka sekiranya golongan di atas tidak mencegah mereka dari kebodohan ini, nescaya mereka akan karam kesemuanya”.(Riwayat Bukhari dan At-Tirmidzi).

         Justeru, fikirkanlah sejenak sejauh mana ‘kita’ sudah menjalankan tugas yang telah dipertanggungjawabkan. Jika ‘Kita‘ masih lagi lalai dan berdalih berkaitan isu ini, tanyalah kembali kepada diri ‘kita’: Apakah kesibukan tuntutan harianku membatasi dan mengalpakan aku akan kualiti hidup berlandaskan al Quran dan as sunnah? Renungkanlah…

Comments on: "Kelemahan Kita Umat Islam" (5)

  1. pandangan saya: hari ini punca utama yang menjadi teras kepada kelemahan umat islam ialah MAKSIAT DAN DOSA SUDAH MENJADI SATU KEPERLUAN DI DALAM KEHIDUPAN UMAT ISLAM.Mengapa saya melontarkan sedemikian, mari kita merenung dan melihat keadaan umat Islam hari ini. tidak terlepas dan tidak mampu melucutkan rantai dosa/ maksiat. setiap hari rantai itu dipakai dan dibawa kesana kemari!

  2. Salam’alaikum

    Thank you for the gentle reminder. Tak dapat dinafikan bahawa akar permasalahn umat islam kini adalah kerana kita semakin jauh dariNya, lalai dengan perhiasan dunia yang sementara naudzubillah. Moga Allah membantu usaha kita, how weak it may appear to be insyaAllah.

  3. muhamad rahsia said:

    saya bangga dengan usaha anda…negara kita sudah lama ketandusan pemimpin yang dapat membimbing umat ke jalan yang benar. Sebaliknya menjadikan agenda politik sebagai kaedah untuk menguasai segalanya(dunya)..syabas..

  4. muhamad fahmi said:

    umat islam di masa kini hanya mementingkan perkara yg sudah dijamin oleh ALLAH SWT iaitu habuan dunia yg sudah dijamin sedangkan iman dan taqwa belum dijamin melainkan kita mencarinya sendiri

  5. muhamad fahmi said:

    dunia sementara akhirat kekal abadi

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: