Menggapai Bahagia

September 20, 2008

segar udara di pagi yang cerah
membasuh jiwa raga yang ceria
hangat saat cahaya suria menerpa
ingatkan diri sempurna karya Ilahi

satu per satu langkah pun dipacu
menapaki jalanan penuh liku
hari ini segera mulai kembali
niat di hati sejarah dunia terwarnai

alangkah bahagia bersua si humaira
tebar senyum dan salam penuh cinta
saling membantu dalam kebaikan dan taqwa
hidup pun akan bahagia

sempurnakan upaya untuk meraih cita-cita
berikan yang terbaik bagi semua
rendahkan jiwa raga untuk mulai untaian do’a
serahkan segalanya pada Sang Kuasa

sebab Dia yang tahu yang terbaik untukmu
bersyukurlah pada-Nya

Mahligai Tabah

September 16, 2008

Sukar untuk aku bina
sebuah mahligai tabah
dari batu-bata sabar
yang ditempa 
dari butir-butir
pasir kehidupan
berbalut perjuangan
demi mengenal 
selingkar pengorbanan
yang perlu diadun 
dengan rempah-ratus
keimanan tulus
dan taqwa 
yang tercipta 
terhadap Maha Esa

Mesin Taip Buruk

September 9, 2008

Sewaktu saya mengetuk-ngetuk papan kekunci PC saya, ingatan saya menerawang jauh ke sebuah peristiwa yang pernah saya lalui suatu ketika dahulu. Kalau tidak salah saya ketika itu saya masih di sekolah menengah.

Ianya berlaku di dalam sebuah program yang menghimpunkan para kepimpinan persatuan dan sekolah di sebuah lokasi. Apa yang hanya ingin saya ceritakan di sini ialah pengalaman yang saya lalui ketika satu slot modul yang dilaksanakan di dalam program tersebut.

Modul itu mudah dan ringkas. Kami diberikan sehelai kertas yang bertulis seperti di bawah:

INI KISXH MESIN TXIP YXNG BURUK:

MESIN TXIP INI SUDXH BURUK. SUDXH LXMX SXYX MENGGUNXKXNNYX. SEKXRXNG SXYX BERCXDXNG HENDXK MEMBELI SEBUXH KOMPUTER YXNG BXRU DXN JXUH LEBIH CXNGGIH DXRI MEXIN TXIP BURUK INI. MESKIPUN MESIN TXIP INI BURUK, IX BXNYXK BERJXSX; TETXPI SEKXRXNG IX TIDXK BOLEH DIGUNXKXN LXGI. JXDI MESIN TXIP BURUK INI SXYX RXSX ELOK DISIMPXN SXJX DI DXLXM STOR.

Saya mencari apa maksud modul itu. Selain ayat-ayat yang sengaja ditulis dalam keadaan yang salah penggunaan abjad, apa istimewanya modul itu. Saya mula berfikir.

Saya melihat hanya abjad A yang tidak digunakan. Sebaliknya huruf A digantikan dengan penggunaan huruf X. Tetapi perkataan yang ditulis tidak mampu disebut sebagaimana huruf A berperanan. Mungkin kerana huruf A ini luas penggunaannya maka walaupun diganti dengan huruf X masih mampu diagak untuk membacanya. Namun kita masih tetap mampu meneka apa kandungan perenggan tersebut.

Apalah sangat harga sebuah mesin taip buruk itu? Kalau huruf A nya sudah rosak, dan tidak boleh digunakan lagi. Betullah tindakan tuannya supaya membeli komputer yang jauh lebih canggih bagi menggantikan mesin taip yang buruk dan rosak itu.

Namun jika dilihat dari sudut yang lain, ada beberapa pertimbangan dan pendapat yang boleh diutarakan. Antaranya ialah:

  1. Huruf-huruf adalah seperti seorang ahli dalam sesuatu kumpulan yang mana mempunyai peranannya yang tersendiri. Setiap huruf mempunyai sebutan yang tersendiri seumpama seorang ahli yang mempunyai kelebihan dan keistimewaan nya yang unik. Oleh itu bukan semua orang akan sama seperti dalam cerita mesin taip tadi. Walaupun X cuba menggantikan fungsi A, namun ia tetap tidak sama.

 

  1. Walaupun A sudah tidak lagi berfungsi, X cuba untuk menggantikan A dalam erti kata X sanggup berkorban bagi menyelamatkan keadaan. Meskipun X bukanlah layak untuk mengambil tempat tersebut. Namun sekiranya X tidak cuba berfungsi seperti A, maka keadaan mungkin menjadi lebih teruk.

 

Dari kedua-dua perumpamaan di atas, dapat kita lihat bagaimana A dan X bekerja dalam satu pasukan dalam menyampaikan mesej tentang mesin taip buruk itu. Inilah yang dikatakan teamwork atau dalam istilah arab nya amal jamaie. Suatu konsep yang cukup sukar untuk di laksanakan oleh masyarakat yang bersifat individualistic pada dunia hari ini. Amal jamaie memerlukan disiplin-disiplin tertentu dari ahli-ahli nya agar misi yang di bawa tercapai. Sebagai contoh bagi seorang yang ingin membawa risalah islam, seseorang itu perlu bekerja dalam satu pasukan. Sirah sendiri menunjukkan bahawa Nabi SAW bergerak dalam satu pasukan. Setelah mendapat wahyu, Nabi terus menyampaikan nya kepada Abu Bakar. Abu Bakar pula mengislamkan 6 orang lagi sahabat pada malam beliau memeluk islam. Kita lihat bagaimana sahabat faham islam yang dinamik dan memerlukan pendokong-pendokong yang bergerak dalam amal jamaie.

 

Akhir kata, bersama lah kita mengambil pengajaran dari kisah mesin taip buruk ini dalam kita bergerak di dalam satu pasukan yang tersusun. Ingatlah bahawa kebaikan yang tidak tersusun akan kalah kepada kebatilan yang tersusun. Terimalah setiap ahli atau sahabat sekeliling kita seadanya. Paling penting, setiap dari kita memainkan peranan masing-masing dan cuba memaksimumkan kelebihan diri yang ada dalam menyampaikan risalah yang telah kita faham.

Kelemahan Kita Umat Islam

September 2, 2008

Keadaan malam di bandar metropolitan ini tidaklah sesibuk seperti kotaraya London. Tidak juga seterang bandaraya Kuala Lumpur. Namun begitu, suasana malamnya masih hidup. Meriah dan padat. Bingit dan mengasyikkan. Daripada cahaya lip-lap dan alunan irama pelbagai yang menghiasi disko dan pub-pub sehinggalah kepada telatah penghuninya yang tidak jemu-jemu berhibur – semuanya saling melengkapi. Namun mungkin beginilah agaknya trend masyarakat zaman millenium menghabiskan kelapangan malam mereka. Tipikal.

Dari fesyen busana mereka yang rata-ratanya berjenama, dari ragam rambutnya yang terkacau santai atau tegak berselerak, dari gaya pemakainya yang menampakkan lutut, peha bahkan pusat dan perut, dari cara mereka berdansa menuruti rentak lagu dan dari lagak mereka meneguk gelas yang berisi Carlsberg ataupun Carling  – mereka adalah bayangan masyarakat moden yang dahagakan hiburan dan keseronokan. Memang selalunya mereka kelihatan bahagia, tidak mustahil mereka pintar menyembunyikan derita.

Di tengah-tengah ragam dan gelagat manusia kota beginilah selalunya kita terangsang bertanya apakah bezanya kita sebagai umat Islam dengan mereka yang lalai ini? Apakah kita mahu menidakkan yang kini arak di kalangan muslim sudah tidak janggal lagi? Apakah kita mahu menyangkal yang budaya seks bebas sudah semakin sebati di kalangan remaja Islam? Apakah kita masih mahu memperlekehkan kewajipan menutup aurat yang kini dikatakan sekadar menyerlahkan kesopanan? Justeru, apakah bezanya ‘kita’ dengan ‘mereka’?

Sekilas pandang umat Islam kini telah hilang keperibadian terpuji mereka sebagai muslim sebenar di mana suatu masa dahulu sifat ataupun sikap ini pernah dimiliki oleh para sahabat dan para salafus soleh. Kehilangan ini sekaligus melontar umat Islam kembali mengamalkan cara hidup yang berlandaskan norma-norma yang sememangnya telah wujud dan dipraktikkan oleh masyarakat di zaman jahiliyyah. Oleh yang demikian, garis pemisah yang membezakan antara ‘kita’ dengan ‘mereka’  telah terhapus lantaran corak kehidupan ‘kita’ yang tidak jauh bezanya dengan ‘mereka’.

Punca Masalah

Sedar atau tidak, semua permasalahan ini berpunca daripada satu halangan – tiada lagi kekuatan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah. Secara tidak langsung tahap sensitiviti terhadap Islam itu sendiri telah semakin berkurang sehingga ada antara ‘kita’ yang sanggup mengabaikan kepentingan Islam semata-mata untuk mencapai dan memenuhi kepentingan diri sendiri. Dunia hari ini melihat kejayaan dalam mengecap impian individu (duniawi) sebagai kemenangan yang mutlak; seolah-olah terlupa yang akhirat itu kekal abadi.

Professor Dr. Yusuf Al-Qardhawi turut terpanggil untuk mengulas isu ini dalam bukunya yang bertajuk ‘Di Mana Punca Kelemahan Umat Islam Masa Kini’. Beliau berpendapat terdapat beberapa faktor sampingan lain yang turut menjurus kepada permasalahan ini selain persoalan iman yang semakin terhakis.  

Dr. Yusuf Al-Qardhawi berpendapat, umat Islam dekad ini terlalu asyik dan lalai dengan habuan dunia. ‘Kita’ digambarkan sebagai umat yang lupa diri dan saling berlumba-lumba untuk menikmati kebahagiaan dunia yang sebentar. Demi mencapai keseronokan sementara ini, secara tidak langsung ‘kita’  turut sama melupakan Allah. Sesungguhnya Allah telah berfirman,

“Janganlah kamu seperti orang-orang yang melupakan Allah, lalu Allah melupakan dia pada diri mereka sendiri.”   (al-Hasyr: 19)

Justeru menurut Dr. Yusuf Al-Qardhawi, kekayaan yang dimiliki ini langsung tidak mempunyai erti kerana kemenangan dan kemuliaan tidak akan dapat diperolehi tanpa Islam. Untuk menguatkan lagi mesej ini beliau turut memetik ucapan Umar Al-Khattab :

“Kita dahulu adalah kaum yang paling hina, lalu Allah memuliakan kita dengan Islam dan bagaimanapun besar perjuangan dan pengorbanan kita tanpa Islam, pastilah Allah s.w.t akan menghinakan kita!”

Malas

 Di samping itu, beliau turut menyatakan bahawa masyarakat Islam masa kini telah banyak mensia-siakan kekuatan mereka.  Sekilas pandang, ‘kita’ diibaratkan sebagai orang yang sedang tidur lena, yang tidak mampu untuk mengejar peredaran dunia yang kian ke hadapan. Menurut beliau lagi, barang yang paling murah dan tidak mempunyai erti bagi umat kini adalah masa ataupun waktu kerana ‘kita’  sama sekali tidak menghargainya. ‘Kita’ tidak memanfaatkan kekuatan akal yang diberi. Majoriti umat kini lebih senang meniru dan menghafal daripada mencipta dan berfikir. Walaupun ilmu pengetahuan itu masih lagi dipandang sebagai elemen penting dalam kehidupan sehari-hari namun ‘kita’ masih gagal dalam aplikasi dan penggunaannya. Jelas, semua ini berpunca dari suatu penyakit yang masih belum ada penawar yang konkrit untuk mengubatinya – kemalasan. Sinis tapi itulah realitinya.

 Pendekatan Dr. Yusuf berkaitan isu ini amat berkesan dimana beliau telah mengetengahkan kata-kata Moshe Dayan (seorang penulis berbangsa Yahudi) yang telah menyatakan secara terbuka mengenai cita-citanya jahat negaranya dalam bentuk tulisan:

 “Tenanglah. Percayalah padaku, bangsa Arab tidak akan membacanya, kerana mereka tidak suka dan malas membaca.” Dr. Yusuf turut berpendapat yang umat Islam gagal dalam memanfaatkan tenaga mereka. Walaupun Islam kini dianuti hampir satu pertiga daripada penghuni alam, namun ‘kita’ masih lagi tidak mampu untuk mengeksploitasikan kelebihan ‘kita’ dari aspek ini. Contoh terbaik, lihat sahaja negara-negara maju yang saling bergabung dan menjalinkan persefahaman dari sudut pertahanan, ekonomi mahupun politik. ‘Kita’ pula lebih gemar dan leka dalam melaung-laungkan semangat nasionalisme dan ideologi politik masing-masing daripada menentukan hala tuju umat ataupun matlamat Islam. Justeru, fenomena ini menyebabkan ‘kita’ lebih banyak berpecah-belah dan berkelahi sesama sendiri.

 Nyata sekali, permasalahan dan konflik umat yang melanda masyarakat muslim sekarang ini berpunca daripada kelalaian ataupun kesilapan ‘kita’ sendiri. Oleh sebab ‘kita’ merupakan punca kepada permasalahan ini maka ‘kita’ jugalah yang harus menjadi ejen pengubah untuk memperbetulkan kembali keadaan. Walau bagaimanapun, usaha ini bukanlah mudah. Tidak juga akan berlaku dalam sekelip mata. Semua pihak harus sedar yang tanggungjawab ini merupakan beban yang harus ‘kita’ pikul bersama. Baik pemimpin, ulama mahupun rakyat kebanyakkan perlu bersama-sama menggembleng tenaga mereka ke arah merawat keadaan dunia kita pada hari ini. Pendapat ini ternyata kebenarannya menerusi sabda Rasulullah SAW:

         “Terdapat segolongan manusia yang mentaati perintah-perintah Allah dan segolongan manusia yang lain melanggari batas-batas Allah. Perumpamaan mereka adalah seperti dua golongan yang menaiki sebuah kapal di mana satu golongan berada di atas dan satu golongan lagi berada dalam perut kapal. Apabila golongan yang berada dalam perut kapal inginkan air mereka menyuruh golongan yang di atas supaya mengambilkan air untuknya sehinggalah mereka berkata : “Adakah patut kita kita menyusahkan golongan di atas apabila kita memerlukan air sedangkan kita boleh mendapat air yang banyak dengan melubangi bahagian bawah kapal ini”. Maka sekiranya golongan di atas tidak mencegah mereka dari kebodohan ini, nescaya mereka akan karam kesemuanya”.(Riwayat Bukhari dan At-Tirmidzi).

         Justeru, fikirkanlah sejenak sejauh mana ‘kita’ sudah menjalankan tugas yang telah dipertanggungjawabkan. Jika ‘Kita‘ masih lagi lalai dan berdalih berkaitan isu ini, tanyalah kembali kepada diri ‘kita’: Apakah kesibukan tuntutan harianku membatasi dan mengalpakan aku akan kualiti hidup berlandaskan al Quran dan as sunnah? Renungkanlah…